Saturday, April 25, 2009
Si Penarik Beca...
Assalamualaykum warahmatullah...
Buat semua penjenguk usrahmedic moga dalam rahmat dan kasih sayang Allah selalu. Setelah sekian lama diinvite oleh Ustaz Fahmi untuk sama-sama menyumbang kepada penulisan di sini, inilah post pertama dari saya untuk tatapan semua. Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan blog usrahmedic ini. Sedikit perkongsian dari saya.
Pernah tonton filem ‘Penarik Beca’ arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee? Suatu kisah yang menceritakan perihal percintaan seorang anak muda yang miskin dengan seorang gadis daripada golongan berada yang akhirnya mendapat bantahan daripada keluarga si gadis. Keadaan anak muda yang miskin itu digambarkan dengan cukup dhaif, miskin lagi fakir sehingga dilihat tidak melayakkannya mengahwini si gadis yang datang daripada keluarga bangsawan itu.
Saya seronok menonton filem-filem karya Allahyarham Tan Sri P Ramlee dari dahulu hingga sekarang dan saya rasa ramai masyarakat di Malaysia turut bersetuju serta meminati Allahyarham sebagai seniman agung dan penghibur nombor satu negara. Filemnya walau di ulangtayang beberapa kali, namun tetap memberikan kesan dan menghiburkan setiap kali menontonnya. Apatah lagi setiap filemnya mempunyai mesej tertentu dan banyak menyindir tentang kehidupan serta feil masyarakat secara umum dan memberikan pengajaran tersendiri.
Cerita ‘Penarik Beca’ tadi walaupun memfokuskan kepada percintaan antara Azizah, anak kepada seorang yang kaya dan Hassan si penarik beca dan bagaimana cabaran dan dugaan yang mereka hadapi sehingga Hassan sendiri berdoa di dalam lagunya kepada Azizah supaya Tuhan mencabut nyawanya kerana tidak dapat bersama orang yang dikasihinya hanya kerana dirinya yang miskin dan papa kedana.
Ini yang saya ingin fokuskan dalam tulisan saya kali ini. Masalah kemiskinan dan kefakiran adalah suatu yang cukup penting dan wajib diatasi sehingga Rasulullah sendiri pernah bersabda, “Hampir-hampir kemiskinan mebawa kepada kekufuran.”
Walaupun ada yang berpendapat kemiskinan itu adalah sesuatu yang telah ditentukan oleh Allah kepada sesetengah hambaNya, justeru hanya kesabaran dan keredhaan dituntut daripada mereka yang miskin tadi dalam menjalani kehidupan sehari-hari, Dr Yusuf Al Qaradhawi pernah membawa satu perbincangan yang menarik tentang perkara ini apabila beliau menulis buku “Masalah kemiskinan dan bagaimana penyelesaiannya oleh Islam”.
Pandangan-pandangan berkenaan kemiskinan
Dalam buku tersebut, Dr Yusuf Al Qaradhawi telah mengemukakan beberapa pandangan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai golongan yang memandang kemiskinan itu dengan pandangan yang pelbagai.
Di sana adanya pandangan yang melihat kemiskinan itu adalah suatu yang mulia yang menjauhkan seseorang daripada penyakit orang-orang yang kaya seperti kedekut, bakhil, dan sebagainya. Di sana juga ada pendapat daripada golongan-golongan yang melihat kemiskinan itu sebagai suatu bala daripada Allah kepada orang-orang tertentu dan tidak perlu dibantu atau diberikan pertolongan. Ada juga di sana yang melihat kemiskinan itu adalah suatu musibah yang perlu diubah dengan pertolongan daripada orang-orang yang kaya. Namun bantuan tersebut adalah berdasarkan ihsan daripada si kaya tanpa perlu ditetapkan sekadar mana bantuan perlu dihulurkan.
Golongan kapitalis dan sosialis pula mempunyai pandangan tersendiri. Kapitalis melihat kemiskinan hanyalah masalah mereka yang miskin dan bukanlah masalah bagi mereka yang kaya. Orang-orang miskin perlu memikirkan sendiri jalan dan cara untuk hidup dan berdikari tanpa mengharapkan apa-apa bantuan daripada yang kaya sementara yang kaya dapat meneruskan kehidupan mereka yang mewah tanpa mempedulikan mereka yang miskin dan papa. Berlainan pula pandangan sosialis yang milihat kemiskinan hanya dapat diubati dengan memberikan hukuman kepada si kaya. Semua harta si kaya adalah milik semua orang dan semua orang mempunyai hak terhadap setiap harta si kaya.
Bagaimana pula pandangan Islam?
Begitulah pandangan sebahagian ideologi-ideologi yang ada di dunia ini secara umumnya. Namun begitu, Islam secara jelas menolak segala pandangan dan ideologi tersebut dengan meletakkan pandangan bahawa kemiskinan adalah suatu perkara yang perlu diubati di dalam masyarakat.
Dalam bukunya juga, Dr Yusuf Qaradhawi menerangkan tentang bahaya-bahaya kemiskinan. Antaranya, kemiskinan boleh mengancam akidah seseorang sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah “Hampir-hampir kefakiran itu boleh membawa kepada kekufuran” (Riwayat Baihaqi dalam kitab As Sya’bi). Dan jika merujuk kepada cerita ‘Penarik Beca’ tadi kita dapat melihat bagaimana kemiskinan membawa kepada rasa putus asa dan kecewa. Kemiskinan juga boleh membawa kepada pembentukan peribadi yang rosak dan akhlak yang buruk serta mengundang sifat-sifat yang keji seperti hasad, dengki, tamak haloba dan memungkinkan seseorang untuk mencuri bagi mencari wang.
Begitu juga kemiskinan adalah suatu yang berbahaya kepada keluarga dan masyarakat dan memerlukan tindakan dan penyelesaian bukan sahaja daripada si miskin atau si kaya malah perlu melibatkan semua, termasuk kerajaan, masyarakat, kaum keluarga, institusi dan lain-lain sesuai dengan apa yang telah ditetapkan oleh Islam selaku agama yang syumul dan satu-satunya agama yang diiktiraf Allah di sisinya.
Apa yang disarankan oleh Islam?
Ada enam perkara yang disarankan Islam untuk menyelesaikan masalah kemiskinan.
Pertama : Pekerjaan
Islam mewajibkan semua umatnya untuk bekerja mencari nafkah dengan segala kudrat, kebolehan serta kemahiran yang ada dengan jalan yang baik dan halal. Seseorang itu dituntut untuk bekerja walau sekecil mana pun kerja yang dilakukan dan sesenang atau sesukar mana pun suatu kerja itu yang boleh membawa kepada rezeki yang halal daripada Allah.
Seseorang itu dituntut untuk menuntut ilmu, mencari kemahiran, merantau jika perlu bagi melengkapkan diri dengan kebolehan-kebolehan tertentu untuk membolehkan dirinya mendapatkan perkerjaan dan berkhidmat kepada masyarakat yang seterusnya mendatangkan kepadanya rezeki yang telah diperuntukkan oleh Allah. Seseorang yang tidak miskin dan tidak bekerja tidak harus untuk mendapatkan zakat kerana dia sebenarnya mampu untuk berusaha dan mencari nafkah sendiri. Begitulah Islam melihat betapa pentingnya seseorang itu bekerja bagi menjauhkan dirinya daripada kemiskinan.
Kedua: Tanggungan daripada saudara yang kaya
Islam juga melihat faktor keluarga adalah suatu yang penting dalam memastikan kemiskinan dapat diatasi dalam masyarakat. Kadangkala kita melihat dalam sebuah keluarga yang besar, ada antara adik beradiknya yang kaya kerana mendapat pendidikan dan pelajaran yang tinggi sementara ada pula adik beradiknya yang lain yang kurang berada kerana tidak berpeluang mendapatkan pendidikan yang serupa, sedang ada pula saudaranya yang lain pula yang miskin mungkin kerana tidak mampu untuk mengurus hidup sendiri. Keindahan Islam menyeru kepada umatnya untuk mengutamakan keluarga dalam apa jua bentuk kebajikan yang ingin diberikan.
Di dalam Al Quran Allah secara jelas menerangkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada ibu bapa dan ahli keluarga melebihi manusia keseluruhannya. Di sinilah kewajipan terhadap saudara-saudara yang kaya untuk mencukupkan keperluan saudara-saudara atau adik beradiknya yang miskin dan yang memerlukan. Tiada gunanya silaturrahim jika seseorang itu tidak memberikan nafkah kepada saudaranya yang memerlukan.
Di sini, ulama meletakkan kewajipan kepada seseorang yang berada atau berkemampuan untuk mencukupkan keperluan asas kerabatnya yang fakir dan miskin berdasarkan dua syarat; pertama sekadar mencukupkan keperluan asas saudaranya dan bukanlah untuk mengayakan saudaranya atau jika saudaranya itu seorang yang malas bekerja maka seseorang itu tidak wajib untuk memberikan nafkah tersebut. Kedua, terlebih dahulu perlu mencukupkan keperluan keluarganya iaitu anak dan isterinya dan sekiranya keluarganya sendiri tidak terpenuhi keperluannya maka tidak harus untuknya memberikan nafkah kepada saudaranya.
Begitulah indahnya Islam apabila meletakkan kewajipan kepada umatnya membantu dan memberikan nafkah kepada ahli keluarganya yang memerlukan sebagai suatu hak Allah yang wajib ditunaikan dan bukanlah sebagai galakan semata. Namun apa menyedihkan, ramai di kalangan masyarakat Islam hari ini yang mengabaikan kewajipan ini dan tidak mempedulikan nasib adik beradiknya yang miskin atau ahli keluarganya yang tidak berkemampuan sebaliknya hanya memikirkan keluarga dan kesenangan sendiri.
Ketiga: Zakat
Zakat adalah suatu bentuk sistem yang dilihat mampu untuk mengatasi masalah kemiskinan secara menyeluruh. Tidak dapat dinafikan, ia adalah suatu sistem yang unik yang disediakan oleh Allah sebagai saluran kepada orang-orang yang berada dan berkemampuan untuk mengagihkan sebahagian daripada harta mereka, di mana daripada banyaknya harta yang mereka miliki itu, sebahagiaannya adalah hak mereka yang telah ditetapkan oleh Islam berdasarkan asnafnya yang tertentu.
Secara umumnya, Islam menyuruh umatnya untuk mencari harta dan nafkah bagi keperluan dirinya sendiri, keluarganya dan sebahagian yang lain pula untuk diinfaqkan di jalan Allah. Justeru, zakat adalah suatu sistem yang menjurus kepada maksud itu yang mana tujuan utamanya adalah untuk mengayakan fakir miskin (dalam erti kata lain mencukupkan keperluan fakir miskin supaya mereka tidak perlu lagi meminta selepas daripada itu atau sudah tidak perlu lagi mendapatkan zakat). Di sana ada beberapa bentuk dan pembahagian zakat yang diwajibkan kepada orang Islam untuk menunaikannya iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Ia adalah suatu kefardhuan daripada Allah kepada semua orang Islam untuk menunaikannya. Sementara di sana terdapat pelbagai pandangan ulama dalam membahagikan dan menguruskan harta zakat tersebut dengan mengagihkannya kepada fakir, miskin, pelajar-pelajar, malah kepada mereka yang mahu berkahwin juga boleh diberikan harta daripada peruntukan zakat bagi mengelakkan mereka daripada melakukan penzinaan.
Sesungguhnya sekiranya pengurusan zakat ini, jika dapat diuruskan dengan baik dan adil serta pada jalan yang sebetulnya, ia adalah merupakan cara yang ampuh untuk mengubati penyakit kemiskinan dalam masyarakat, namun di sana kita melihat kurangnya kesedaran masyarakat serta keprihatinan mereka terhadap kewajipan ini .
Keempat: Baitul Mal
Kelima : Penunaian hak selain zakat seperti terhadap jiran, korban pada hari raya korban, pembayaran mereka yang melanggar sumpah, pembayaran kafarah zihar, pembayaran kafarah jimak pada siang bulan Ramadhan, fidyah mereka yang dapat berpuasa, dan lain-lain.
Keenam: Sedekah dan ihsan daripada orang-orang yang kaya secara sukarela.
Akhirnya, jika kita perhatikan dengan teliti Islam sememangnya melihat kemiskinan sebagai suatu masalah yang perlu diatasi oleh umatnya dan telah menyediakan jalan serta kaedah terbaik untuk mengatasinya. Tunggu kita sahaja untuk melaksanakan dengan sebaiknya. Mungkin sekiranya kita berjaya untuk melaksanakan apa yang dianjurkan oleh Islam ini dengan baik, umat Islam hari ini akan dapat merasai kesenangan yang dirasai oleh umat Islam ketika pemerintahan Umar bin Abdul Aziz di mana tiada seorang dari kalangan rakyatnya yang fakir serta miskin dan orang seperti Hassan dalam filem ‘Penarik Beca’ tadi mungkin dapat dibela dengan sebaiknya bahkan kedudukan dan taraf hidup orang bukan Islam dalam negara Islam juga turut dapat dibela sesuai dengan konsep keadilan Islam.
Wallahu A’lam
PS: Artikel ini ditulis berdasarkan Buku Musykilah Faqr wa kaifa 'Alijuha Islam karangan Dr Yusuf Al Qaradhawi dan diolah berdasarkan perbincangan bersama Ustaz Fauwaz Fadzil dan kefahaman saya sendiri. Sebarang pembetulan atau komen adalah dialu-alukan.
3 comments:
Jazakumullah saya ucapkan kepada Dr. Kadir. Lepas ni silalah lagi hantar karya2 anda yg bermutu tu.
salam..
baarakallahu fiikum
banyak manfaat diperolehi..
Jazakallah kpd Dr. Kadir..i'Allah junior2 akn mengikut jarak langkah senior2 yg hebat..
Post a Comment