Sunday, April 18, 2010
" Tidak malukah kamu, mencelaku dihadapanku?" - Mulianya Akhlak Para Ulama'
Posted on Sunday, April 18, 2010
|
No Comments
|
Al-Habib Ali Al-Jufri pernah menceritakan:
Suatu hari, datang seorang lelaki dari kampung bertemu datuk kepada Al-Habib Ali Al-Jufri. Dia mengadu kepada datuk Al- Habib bahawa ada seorang lelaki yang menghina dan mencelanya. Lalu datuk Al-Habib berkata kepada lelaki tersebut: " Adakah kamu tidak merasa malu kepada dirimu sendiri apabila mencelaku dihadapanku". Lantas lelaki tersebut menjawab: " Bukan aku yang mengucapkan perkataan sedemikian. Akan tetapi, lelaki itu yang mengucapkannya. Aku hanya menceritakan kepadamu". Lalu datuk kepada Al-Habib Ali menjawab; " Aku tidak mendengarnya daripada lelaki tersebut. Sekarang ini, aku hanya mendengar ucapan itu keluar dari mulutmu"
Sifat sayang dan marah dalam jiwa para ulama' hanya terbit menerusi panduan cahaya Baginda Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam. Kedua-dua sifat tersebut terbit hanya kerana Allah.
Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam pernah bersabda:
" Sesungguhnya ikatan Islam yang paling kukuh adalah kamu sayang kerana Allah dan marah kerana Allah"
Pernahkah kita memarahi atau tidak puas hati kepada kawan-kawan kerana perkara dunia selain dari Allah Taala? Ikatlah talian kasih-sayang yang dibina dengan ikatan Islam dan iman yang kukuh. Jangan suka mengadu domba antara satu sama lain. Maafkanlah kesalahan yang dilakukan oleh kawan-kawan yang hanya melibatkan kepentingan diri. Contohilah sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah Sollallahu'alaihiwasallam, para sahabat dan ulama'-ulama' pewaris para nabi. Selepasnya, kita akan mampu menghayati betapa nikmatnya hidup dalam ukhuwwah Islamiyyah.
Kita semua pernah mendengar cerita Sayyidina Ali Radiallahu'anhu yang membatalkan niat untuk membunuh seorang kafir hanya disebabkan si kafir itu meludah ke mukanya? Apabila ditanya kepada Sayyidina Ali mengenai perbuatannya, dia menjawab dengan jawapan yang sangat indah: " Sebelumnya, aku mahu membunuhnya semata-mata kerana Allah. Aku tidak mahu membunuhnya kerana rasa marah yang timbul dariku. Apabila dia meludah ke mukaku, aku menjadi marah kerana perbuatannya meludah mukaku. Dan aku tidak mahu membunuh dengan pedangku ini melainkan semata-mata kerana Tuhanku"
Indahnya berada di bawah suluhan cahaya Ilahi... Ya Allah, golongkanlah kami dalam golongan hamba yang mendapat pimpinan dariMu, amin....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment