Usrah Medik Terengganu

www.usramedic.blogspot.com

- Melahirkan individu yg beriman dan beriltizam serta mempunyai kefahaman yg sebenar - Meningkatkan kefahaman Islam, peka dengan isu semasa dunia Islam - Mendidik perasaan agar bertanggungjawab terhadap Allah dan RasulNya - Mendidik jiwa agar mempraktikkan akhlak Islam di dalam kehidupan seharian - Membina kemahiran bekerja dan keupayaan memimpin - Memperkukuhkan ukhuwwah dan memupuk kesepakatan serta kebersamaan dalam tindakan dan amalan.

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu

www.infokpt.com

Keluarga Penuntut-penuntut Terengganu(KPT) telah ditubuhkan pada tahun 1964 dengan bermatlamatkan penyatuan dan kebajikan seluruh anak-anak Terengganu yang berada di Mesir.

KPT juga berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK) dan Yayasan Terengganu (YT)

Persatuan Pelajar-pelajar Perubatan Mesir

www.perubatan.org (Bridging The Community)

PERUBATAN merupakan suatu persatuan yang bersifat non-partisan yang berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah Mesir pada tahun 2002, menjadi platform untuk menyatukan dan mengumpul tenaga pelajar yang menuntut pengajian sains kesihatan di bumi Mesir ini dan kini PERUBATAN telah berjaya ditubuhkan dengan harapan misi penyatuan dan kerjasama di kalangan ahli dapat dicapai.

Wednesday, March 25, 2009

Modal Dakwah

Bismillahirrahmanirrahim...

Dakwah sememangnya menjadi ranjau yang berbahaya bagi mereka yang berjalan di atasnya, namun hanya beberapa manusia sahaja yang berjaya bergerak dengan baik. Dulu sebahagian kita pernah membaca artikel tentang Cinta Enta dan Enti yang penuh dengan selaput yang mengotorkan fitrah yang indah itu, kini di tengah jalan dakwah yang agung ini mula ditumbuhi sarang kedurjanaan. Pertama kalinya inginku memohon maaf untuk bercakap tentang jalan dakwah ini kerana kutahu aku bukanlah daripada ahli jalan ini namun sekadar untuk menyampaikan rasa hati yang ingin diterjemahkan kepada bahasa tulisan mungkin di sana ada makna dan pedoman untuk kita semua.

Sememangnya manusia ini tidak akan terlepas dari hasutan syaitan dan pelbagai fitnah dunia yang akan menerjah, sebagaimana kata Habib Umar bin Hafidz ketika beliau datang ke Malaysia,

“Marilah bersama-sama kita tawajjuh kepada Allah Taala, di hadapan kita ada nafsu yang jahat daripada pelbagai fitnah dunia dan syaitan daripada kalangan jin dan manusia serta fitnah yang sentiasa menganggu kita serta anak-anak kita yang bakal menjadi fitnah tersebut, apabila kita bermohon kepada Allah pasti Dia akan membantu kita, apabila kita mengharap rahmatnya pasti Dia akan merahmati kita, apabila kita jujur kepadanya pasti Dia membantu kita..."'

Maka sesiapa sahaja yang bernama manusia tiada terlepas daripada gangguan syaitan yang durjana tidak kiralah mereka itu berjuang atau tidak dalam medan dakwah. Sekadar cebisan untuk mencoret sesuatu dari pengamatan hidup ini di kalangan para pejuang dakwah yang mulia. Mungkin aku tidak mampu untuk memulakan coretan ini dengan tulisan yang terbaik namunku datangkan ia dalam bentuk situasi agar mata yang melihat serta lidah yang membaca mampu menerangkan pada kelembutan hati yang sedia mendengar.

Pertama, setiap manusia pasti pernah melihat filem yang ditayangkan di skin TV mahupun di skrin laptop hatta mereka yang berjuang dalam medan dakwah itu sendiri akan pasti pernah menonton filem. Semua itu tidak menjadi kehairanan lagi buat kita namun yang menjadi kedurjanaan adalah mereka yang berjuang dalam medan dakwah ini berhibur dengan filem yang luar dari landasan syarak, hinggalah tersembur pada bibir mereka ini adalah ‘modal dakwah’. Namun apabila diperhatikan, mereka ini kurang dalam gerak kerja dakwah meskipun banyak menonton filem yang diharamkan dengan menghalalkannya atas nama dakwah. Maka berjayalah syaitan mengaburi mata kita memandang yang haram itu adalah haram, jadilah kita hanyut dalam ‘dunia halal’ rekaan sendiri.

Kedua, zaman yang senantiasa berubah ini telah memajukan masyarakat dengan teknologi yang tiada batasannya. Ingatlah, walaubagaimanapun dunia maju syaitan tidak akan pernah sesekali bodoh untuk menipu kita. Situasi yang kedua ini adalah jalan chating menggunakan YM dan yang sewaktu dengannya. Kalau dihitung sememangnya dalam jumlah kuantiti yang sedikit sahaja yang ‘jahil’ dalam dunia chating ini. Dalam situasi ini para da’ie mudah tersungkur, kerana kiranya pada kali pertama berchating dengan berlainan jantina hanya semata-mata untuk menjawab soalan yang diajukan mahupun modal dakwah ingin disampaikan, lama kelamaan berubah menjadi satu lorong 'percouplelan' di alam maya, maka bertepuk tangan dan bersorak gembiralah syaitan kerna berjaya mengelirukan manusia menggunakan ‘modal dakwah'. Lalu, teruslah si pendakwah terasa ianya halal sedang ia barang yang sudah jelas keharamannya.

Ketiga, mungkin situasi yang ketiga ini tidak ramai yang terlibat kerana situasi ini hanya terjadi kepada mereka yang ‘berjawatan’. Sememangnya mereka yang berjawatan ini akan ada penolongnya dari kalangan Hawa, maka syaitan tersenyum lebar kerana mudah untuknya mengukir corak yang hina pada lembaran kain yang mulia bertangankan manusia. Sememangnya mereka yang berjawatan ini akan sibuk berhubung antara satu sama lain untuk berbincang tentang tugas yang telah ditaklifkan ke atas mereka.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Tidaklah dinamakan syaitan jika tidak menghasut mereka lalu ia membina bata penghalang daripada melihat apa yg tersirat di sebalik halal itu. Sedangkan apa yang dilakukan itu tertampal kemaksiatan padanya. Maka, menjadi kebiasaanlah antara mereka bercakap dengan suara yang manja antara satu sama lain, berhubung luar batasan kerja dan bertanyakan khabar yang tidak sepenting mana untuk diketahui. Bergolek sehinga menepuk lantailah syaitan bergembira kerna dengan ber’modalkan dakwah’ mampu membelokkan jalan yang lurus bagi mereka yang bergerak dalam medan dakwah ini.

Begitulah sebatinya syaitan dengan pekerjaannya dalam menyesatkan manusia agar lalai mentaati perintah Allah Taala. Jika diamati kisah penciptaan Nabi Adam a.s sehingga beliau dipindahkan ke bumi, di situ telah jelas tersuluh bahawa syaitan tidak akan melakukan perkara lain melainkan dua perkara ini sahaja iaitu: Melekakan Nabi Adam a.s supaya melakukan maksiat yang telah dilarang. Dan yang kedua, menyalahi perintah yang disuruh oleh Allah Taala. Kisah seumpama ini turut dirakam ketika peristiwa iblis enggan sujud hormat kepada Nabi Adam a.s walaupun itulah perintah Tuhan Yang Maha Pencipta.

Ingatlah, maksiat akan senantiasa wujud selagimana udara mampu membekalkan oksigen pada penghuni dunia namun ia hanya terletak antara zahir yang nyata dan zahir yang dibatinkan. Berjagalah! Kerna sumpah syaitan kepada Allah bahawa mereka tidak akan berputus asa dalam menyesatkan masyarakat manusia. Sememangnya kita mampu untuk membenci maksiat zahir yang nyata namun belum tentu kita mampu terlepas dari maksiat yang zahir tetapi dibatinkan oleh pandangan kita kerna bisikan syaitan telah menghijabkan kita daripada menyedari bahawa di dalam ibadat yang dilakukan itu terdapat cebisan maksiat yang dilakukan.

Bersihkanlah amalan ibadat yang mulia daripada tompokan najis maksiat yang terlalu busuk. Kita tidak mahu kepulangan kita nanti, tika membawa amalan kebaikan yang telah dilakukan ini untuk dipersembahkan pada Raja yang terAgung.... harapannya Allah Taala akan menerimanya sebagai amalan kebaikan tetapi ditolak mentah-mentah lagi kerna baunya yang terlalu busuk sehingga membawa kepada murka Allah Taala. Tanpa sempat untuk kita merayu, Malaikat Malik terus menghumbankan kita ke dalam gaung neraka yang telah lama menunggu saat untuk meratapi tubuh manusia yang derhaka. Kembalilah padaNya jika kesedaran itu menghampirimu... Renungilah ayat TuhanMu...
"Dan juga orang-orang Yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada Yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji Yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)." Surah Aali 'Imran, ayat 135.
Begitulah juga sabda Baginda Nabi s.a.w dengan mafhumnya, setiap anak Adam itu pasti akan melakukan dosa namun sebaik-baik orang yg melakukan dosa ialah orang bertaubat kepada Allah Taala.

Ya Allah jika apa yang telah tertulis ini adalah satu kemaksiatan yang telah terbatin oleh bisikan Syaitan maka harapanku, Engkau bersihkanlah ia daripada noda kejahatan syaitan dan kumohon ampunan daripadaMu wahai Tuhan Yang Esa. Tiadalah yang mampu mengampuniku melainkan Engkau kerna Engkau adalah Tuhanku dan aku adalah hambaMu.

Wallahualam….


Oleh: Ibnu Azahar (Penulis Jemputan usramedic.blogspot.com)

Read More......

Monday, March 23, 2009

Aku, tanah airku dan PPSMI...

Alhamdulillah, akhirnya Allah memberi juga TaufiqNya untuk saya menulis dalam blog ini. Untuk pertama kalinya. Dan menjadi ahli usrah yang pertama menulis di laman ini. Sebelum ini, guru-guru kami telah beraksi. Dan saya berasa teramat segan untuk menulis. Takut jika dibandingkan tulisan saya dengan tulisan para Guru, memanglah saya ini tidak layak. Tambahan pula, pembaca-pembaca blog ini bukan dari kalangan kebiasaan orang. ini membuatkan saya terlebih segan. Jadi pada awalnya, saya memohon maaf kalau tulisan ini tak memuaskan hati pembaca.

5 Tahun Bersama PPSMI:

Suatu hari saya dapat mesej dari naqib kami, Ustaz Fahmi. Beliau meminta untuk menulis berkenaan PPSMI. Puas saya berfikir, nak tulis apa ye... Fikir saya, kalau saya membantah PPSMI sekalipun tiada orang pun nak dengar. Kalau Sasterawan Negara membantah mereka tak dengar, inikan pula saya.

Jadi, saya rasa lebih baik saya membawa kepada anda pengalaman saya bersama PPSMI. Sebab saya merupakan generasi pertama PPSMI. InsyaAllah ada serba sedikit pengalaman hidup untuk dikongsi.

Saya mendapat pendidikan peringkat rendah di Sek. Keb. Marang. Walaupun Marang dipanggil Bandar Marang tapi hakikatnya ia tak ubah seperti sebuah pekan. Maka di sekeliling saya bukan dari kalangan golongan elit. Hanya orang kebiasaan. Kerja sebagai nelayan, petani, pegawai rendah dll.

Sewaktu di bangku sekolah, ketika saya darjah 6,di kalangan rakan-rakan saya masih ada yang tak tahu membaca. Bukan mereka tak tahu membaca buku bahasa Inggeris, tapi mereka tak tahu membaca Bahasa Melayu. Kadang-kadang saya punya kesempatan secara tak langsung melihat pembelajaran mereka (waktu nak ke kelas muzik memang sempat melihat mereka, sebab kelas muzik sebelah kelas pemulihan). Seperti suasana di tadika. Pembelajaran yang dipenuhi dengan alat bantu mengajar(ABM). Sesekali timbul rasa sedih juga.

Jadi macam mana bila masuk tingkatan 1 (tahun 2003 akan bermula PPSMI) mereka nak belajar? Sedangkan Bahasa Melayu pun mereka membaca dengan merangkak. Inikan pula Bahasa Inggeris. Mereka yang kurang berminat dalam pembelajaran akan menjadi semakin kurang minat. Maka banyaklah masa-masa kosong terhasil. Jadi tak hairan semakin berleluasa masalah sosial.

Peringkat Menengah:

Setelah mendapat keputusan yang baik sewaktu UPSR, maka saya pun beralih ke suatu peringkat yang lebih tinggi dan berada di kalangan mereka yang lebih baik(dari sudut akademik). Apabila berada dalam kalangan mereka yang lebih hebat, kita akan berasa terawang-awangan. Hingga lupa mereka yang di bawah. Duduk di sebuah sekolah berasrama penuh, mana mungkin melihat mereka yang buta huruf, tapi kita yang menjadi BUTA. Kita lupa sahabat-sahabat yang berada diluar yang jauh ketinggalan. Kita sibuk bersaing sesama kita. Terkadang timbul perasaan buruk, memandang rendah sahabat-sahabat lain. Kadang-kadang timbul dalam hati kita seakan memperlekeh mereka. Kami dikalangan pelajar-pelajar MRSM memang tak timbul masalah untuk belajar menggunakan bahasa Inggeris, hanya ada segelintir sahaja.

Namun dikalangan kami sebenarnya ada yang begitu tak gemar dan lemah dengan penggunaan Bahasa Inggeris, di antaranya homeroomate saya, antara kenyataannya adalah,

“Aku bukan tak tahu jawab tapi aku tak tahu nak tulis camne. Kalau bahasa Melayu boleh la..”

Sehingga pada satu masa, ada beberapa sahabat saya yang tak tahan, akhirnya mereka menulis jawapan dalam bahasa Melayu. Tapi bagi saya satu kerosakan yang lebih besar berlaku. Mereka tak mengguna bahasa Inggeris sepenuhnya dan tak juga menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Apabila menulis mengguna bahasa Melayu tapi mengguna istilah-istilah bahasa Inggeris. Tidakkah menjadi carca merba? Jadi apa guna belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris tapi hakikatnya mereka seakan-akan mengguna bahasa Melayu. Bahkan bahasa ‘rojak’ pula berlaku (saya pun menulis dalam keadaan rojak hehe..).

Ada sahaja dalam MRSM sendiri di mana guru-guru mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu. Alasan mereka, “YANG PENTING FAHAM.”(sumber dari saudara Malek, ketua usrah kami)

Tambahan, jikalau di kalangan pelajar-pelajar MRSM sendiri yang kononnya dikatakan pelajar yang mempunyai ‘darjat’ tersendiri, berasa susah menggunakan bahasa Inggeris, inikan pula pelajar luar Bandar. Saya sendiri mengakui, pada mulanya agak sukar untuk ‘menangkap’ pembelajaran di kelas. Lebih-lebih lagi pada waktu kelas fizik yang diajar oleh Puan Wan Ainizah. Beliau mengajar menggunakan Bahasa Inggeris dari awal hingga akhir dalam slanga US pulak. Tapi lama kelamaan menjadi lebih baik.

Sewaktu nadwah kami pernah di bawa ke sekolah luar Bandar. Ditugaskan untuk memberi motivasi kepada pelajar-pelajar tahun 6 yang bakal menduduki UPSR. Sekali lagi saya dihadapkan dengan suasana semasa sekolah rendah. Masih ramai pelajar yang buta huruf. Sekali lagi juga saya terfikir bagaimanakah nasib mereka?

Peringkat Tinggi:

Sekalipun saya sudah berpindah ke dunia yang lebih jauh tapi masih ada di kalangan kami yang masih mempunyai kesukaran dalam pembelajaran dengan menggunakan Bahasa Inggeris. Alhamdulillah, Allah beri kemudahan teknologi pada saya, jadi kamus sentiasa ada di tangan (telefon bimbit..).

Pernah suatu ketika saya membaca satu muka surat sahaja tapi dibaca beberapa kali bagi memahaminya. Sedangkan saya dan rakan-rakan merupakan generasi pertama PPSMI. Selama 5 tahun kami belajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Jadi di mana silapnya?

Memang dari satu sudut penggunaan Bahasa Inggeris ini lebih mudah. Bahasanya mudah dan ringkas. Namun fikir saya, sepanjang pengalaman belajar, penggunaan buku ‘international’ lebih mudah dari buku tempatan. Saya bukan pakar bahasa. Tapi ini adalah dari pengalaman. Sewaktu di Matrikulasi, saya lebih selesa menggunakan buku ‘luar’ berbanding buku tempatan. Kerana bahasanya lebih mudah dan ringkas. Begitu juga semasa di Mesir. Tapi Alhamdulillah , Allah tetap beri kemudahan pada kami.

Akhirnya, terkadang kita berasa kesal dengan apa yang berlaku. Sebagai pelajar dan penuntut ilmu, saya berharap sahabat-sahabat saya yang lain mampu bersama untuk menggali ilmu. Saya pernah berasa kesal sewaktu Ma'arad Kutub. Kerana tak mampu membaca buku bahasa Arab. Jadi mungkinkah ini yang dirasa oleh sahabat-sahabat yang lain apabila berasa terlalu sukar untuk membaca buku bahasa Inggeris... Wallahualam.

[dzuuhaniin.blogspot.com]

Read More......

Thursday, March 19, 2009

Hubungan Ilmu dan Iman

Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Shahihnya, di permulaan bahagian kedua dari kitabnya itu, dengan Hadis Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam yang menceritakan kisah Saidina Jibril ‘Alaihissalam yang datang bertemu dengan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Saidina Umar al-Khattab Radiallahu’anhu menyifatkan Saidina Jibril ‘Alaihissalam datang dalam keadaan yang kemas dan bersih tanpa ada kesan perjalanan jauh sedangkan tidak ada seorang pun mengenalinya sebagai penduduk di situ.

Saidina Jibril ‘Alaihissalam datang kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan duduk dengan penuh beradab sebagai seorang penuntut ilmu. Lalu, Saidina Jibril ‘Alaihissalam bertanyakan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam mengenai tiga perkara utama yang berkaitan dengan Islam, Iman dan Ihsan. Dari kisah yang diriwayatkan di sini, menunjukkan kepada kita bahawa Islam merupakan agama yang sentiasa menuntut umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh. Dalam masa yang sama tidak melupakan adab-adab yang perlu dijaga sebagai seorang penuntut ilmu di jalan Allah.

Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam pernah bersabda;

“ Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju syurga….”

Allah Taala menjadikan keadaan orang yang berilmu dan penuntut-penuntut ilmu berbeza dengan golongan-golongan yang tidak berilmu. Allah Taala berfirman;

“ Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”

Berkata ulama’: Allah Taala tidak mengkhususkan jenis pengetahuan dalam ayat ini tetapi mendatangkannya dalam bentuk yang umum sebagai petunjuk bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah sebarang jenis ilmu pengetahuan. Segala perkara yang disifatkan bahawa itu merupakan ilmu, dalam pengkhususan dan bidang apa sekalipun. Tidak kira samada ilmu itu adalah ilmu perubatan, kejuruteraan, fizik, kimia, falak, ilmu kehidupan, kemasyarakatan dan lain-lain dengan syarat ilmu itu menyebabkan seseorang itu menghubungkannya kepada Allah Taala. Syaratnya, ilmu itu semakin mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah Taala. Sekiranya sesuatu ilmu itu tidak mampu menghubungkan seseorang kepada Allah Taala, ilmunya dikira tidak bermanfaat bahkan kadang-kadang boleh memudaratkan dirinya dan orang lain.

Oleh kerana itulah, di sana terdapat penulis yang menulis buku dengan tajuk “ Ilmu Perubatan Pusat Keimanan”. Seseorang doktor dikatakan ‘melihat Allah’ iaitu melihat kekuasaanNya melalui ilmu yang dipelajarinya. Pada jasad manusia tersembunyi pelbagai tanda kekuasaan dan rahsia penciptaan Allah Taala. Para doktorlah yang mampu melihat rahsia-rahsia kekusaan Allah ini ketika mereka merawat para pesakit. Perkara ini bersesuaian dengan kata syair;

وفي كل شيئ آية تدل علي أنه واحد

Maksudnya:

Pada tiap-tiap sesuatu itu ada tanda - yang menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah itu Esa

Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan bahawa memelihara kesihatan dan mengubati penyakit bukan sahaja memerlukan kepada ilmu zahir yang dipelajari, bahkan pentingnya pergantungan kepada Allah Taala. Seseorang yang tidak diizinkan Allah untuk sembuh tidak akan sembuh walaupun diberi rawatan yang terbaik oleh doktor yang pakar dalam bidang tersebut.

Allah Taala berfirman;

“ Dan jika sekiranya Allah Taala menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang mampu menghilangkannya melainkan Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”

Para doktor juga memerlukan kepada ketahanan mental yang tinggi untuk berhadapan dengan karenah pesakit yang pelbagai. Fakta menunjukkan statistik tahunan para doktor yang bertugas merawat pesakit di Malaysia mengalami sakit jiwa apabila sudah tidak tahan melayan karenah pesakitnya. Di sinilah perlunya seseorang pakar perubatan sentiasa menghubungkan dirinya dengan Allah Taala. Kadang-kadang seseorang pesakit lebih memerlukan suntikan motivasi dan kata-kata semangat dari doktor yang dipercayainya daripada suntikan ubat yang menyakitkan.

Sebagai penutup, dengan kesempatan yang dikurniakan oleh Allah Taala berada di bumi yang penuh berkat ini, berusahalah dengan sedaya-upaya untuk memenuhi tanggungjawab sebagai penuntut ilmu perubatan yang sentiasa cuba untuk meningkatkan keimanan kepadaNya daripada ilmu yang dipelajari. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan dikembalikan.

[ syukrinazar.blogspot.com]

Read More......

Tuesday, March 17, 2009

Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam, kehebatannya tidak terungkap dengan kata-kata!

Saatnya telah tiba. Empat belas buah balkoni Istana Maharaja Kisra tersungkur menyembah bumi. Api sembahan Majusi yg menyala megah seribu tahun tiba-tiba terpadam. Tasik Saawah kering. Gereja di sekitarnya runtuh. Aminah menyaksikan keluar daripadanya cahaya terang benderang. Cahaya bersinar cemerlang hingga menerangi istana di Busra, Syam. Seorang Yahudi di Yathrib menjerit kegilaan, "Telah muncul bintang Ahmad di langit pada malam ini!" Bintang yg tidak kelihatan kecuali pada malam kelahiran seorang nabi penutup sekalian nabi!

Syaitan berteriak di gunung dan lembah. Tiada lagi rahsia langit akan didengari. Rejaman demi rejaman mengejar pantas syaitan pencuri berita langit. Jalan wahyu kini aman daripada gangguan. Saat itu telah tiba. Kelahiran seorang nabi akhir zaman.

Lahirnya insan agung yg mengubah alam. Menyinari dunia yg sebelumnya diselimuti kegelapan. Lahirnya membawa sejuta perubahan. Lahirnya dalam keadaan bersujud. Sujud yg mengagungkan Tuhan. Kelahirannya dinanti-nantikan. Dan penantian itu telahpun berakhir. Kelahiran yg disambut dan diraikan. Timur, barat, utara dan selatan mempersilakan ketibaannya. Seluruh alam bergembira. Sesuai dengan kebangkitannya sebagai rahmat kepada seluruh pelusuk alam semesta.

Baginda manusia. Tapi bukan seperti manusia biasa. Baginda umpama permata yg berkilauan di celahan batu-batu. Baginda makhluk semulia-mulia makhluk. Baginda nabi terulung di kalangan nabi-nabi. Baginda rasul terpilih dan termulia secara mutlak! Tiada yg mengetahui hakikat sebenarnya kecuali Tuhan Penciptanya. Baginda makhluk paling sempurna pernah tercipta. Baginda kekasih Allah yg paling utama. Tiada yg mampu merebut kedudukannya.

Namanya tercatat di arasy. Namanya termaktub di dalam kitab-kitab terdahulu. Namanya telah disebut-sebut sebelum kelahirannya. Sifat-sifatnya telah dikenali sebelum kebangkitannya. Awan memayunginya daripada kepanasan terik mentari. Akhlaknya terpelihara. Sesiapa yg memandangnya pasti terpesona. Kehebatan dan kecantikan yg teramat luar biasa.

Baginda telah menjadi nabi sedang Adam 'alaihissalam berada di antara ruh dan jasad. Tuhan yg mencipta Adam 'alaihissalam telah meletakkan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam di dalam sulbinya. Baginda umpama mentari yg menyinari. Para nabi yg lain pula umpama bulan yg memantulkan cahayanya, menyebarkan hidayah kepada seluruh kaum yg diutusnya. Cahayanya terus bergemerlapan. Tidak pernah malap dan tidak akan sesekali malap. Cahayanya umum kepada semua. Rahmat sekalian alam.

Baginda dikurniakan kelebihan dan keistimewaan yg tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumnya. Jika malaikat diperintah bersujud memuliakan Adam 'alaihissalam, maka Allah beserta malaikatNya berselawat memuliakan Baginda. Jika Idris 'alaihissalam diangkat ke tempat yg tinggi, maka Baginda dimikrajkan ke tempat tertinggi yg tidak pernah dicapai sesiapa selainnya. Sesiapa yg melepasinya nescaya terbakarlah ia. Jika api yg sepatutnya membakar Ibrahim 'alaihissalam diperintah menjadi sejuk dan sejahtera, maka api peperangan untuk membunuh Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam dipadam Allah secara serta merta. "Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah akan memadamkannya." Al-Anfal, ayat 33.

Api yg menyambar kulit seorang anak kecil daripada umatnya tunduk akur kepada ludahan Baginda. Tangan yg mulia itu menyapunya lalu sembuh dengan serta merta. Ibrahim 'alaihissalam terpilih sebagai Al-Khalil. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula Al-Khalil dan Al-Habib. Ibrahim 'alaihissalam menghancurkan berhala sembahan dengan sebilah kapak, manakala Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam membinasakannya dengan sebatang tongkat. Ibrahim 'alaihissalam dimuliakan dengan pembinaan Kaabah, Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula dimuliakan dengan peletakan Hajarul Aswad.

Tongkat Musa 'alaihissalam menjelma sebagai ular besar yg tidak bersuara, tunggul kayu pula merintih, merengek, merindukan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Tangisannya jelas kedengaran. Mengenangkan saat indah disentuh dan dijadikan tempat sandaran. Tangisan si tunggul akhirnya terhenti kerana pujukan yg menjaminnya ke syurga bertemankan kekasihnya. Tatkala Abu Jahal ingin melontar batu untuk menyakiti Baginda, tiba-tiba kelihatan dua ekor ular ganas di bahu yg mulia itu. Abu Jahal menggeletar dan melarikan diri.

Musa 'alaihissalam pernah dikurniakan mukjizat membelah lautan. Maka Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula dikurniakan terbelahnya bulan. Jika Musa 'alaihissalam memancarkan air melalui batu, maka Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula terpancar air di antara jari jemarinya. Musa 'alaihissalam diberi gelaran Kalimullah kerana berkata-kata secara langsung dengan Allah tanpa perantaraan Jibril. Maka Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula diisrak mikrajkan. Sebuah perjalanan ajaib yg tidak tunduk kepada sistem alam. Pengembaraan merentasi sempadan logik akal pemikiran, membelah tujuh petala langit, menyaksikan tayangan perdana, mempertemukan Baginda dengan nabi-nabi terdahulu lalu menerima solat lima puluh waktu. Munajat Musa 'alaihissalam di Bukit Thur Sina, munajat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam nun di Sidratul Muntaha.

Daud 'alaihissalam mampu melembutkan besi keras dengan menggunakan tangannya. Maka ranting kering pula menjadi segar dan tumbuh daunnya tatkala berada di tangan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Sulaiman 'alaihissalam menguasai bahasa binatang, menundukkan jin dan syaitan. Memiliki kerajaan agung yg tidak pernah dimiliki sesiapa selepasnya. Maka, batu-batu pula berkata-kata dengan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Bahkan bertasbih di tangannya dan tangan sahabat-sahabatnya sedang asal kejadiannya makhluk yg kaku tidak bersuara.

Di dalam peristiwa Khaibar, peha biri-biri yg dihidangkan kepada Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam bertutur memaklumkan perihal keadaannya. Kijang berdialog dengan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Unta pula membuat pengaduan kepadanya. Burung dan serigala turut tidak melepaskan peluang berbual dengannya.


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Buraq yg ditunggangi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam lebih laju daripada angin yg berada di bawah kekuasaan Sulaiman. Bahkan kelajuannya menewaskan kelajuan kilat. Jika syaitan terpaksa tunduk di bawah pemerintahan agung Sulaiman, dipaksa melakukan kerja-kerja berat, maka Bapa Segala Syaitan, Iblis laknatullah pernah diberkas oleh Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam lantas diikat di salah satu tiang masjid. Sulaiman 'alaihissalam menggunakan jin manakala Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam mengislamkan jin. Jika jin termasuk di kalangan angkatan tentera Sulaiman 'alaihissalam, maka Jibril dan sekumpulan malaikat yg terbaik terpilih sebagai bala tentera Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.

Merpati yg membuat sarang di pintu gua dalam peristiwa Hijrah dengan mudah menggagalkan perancangan terancang Musyrikin yg keji yg menawarkan seratus ekor unta bagi sesiapa yg mampu menangkap Baginda. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pernah diberi pilihan. Untuk menjadi seorang nabi dan raja yg berkuasa atau menjadi seorang nabi dan hamba yg reda di bawah kekuasaanNya. Lalu Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam memilih yg kedua.

Kitab dan suhuf diturunkan kepada sebahagian nabi. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula diturunkan Al-Quran yg kekal hingga ke hari ini. Mukjizat terbesar yg akan berkekalan hingga ke hari kiamat. Syariatnya menasakhkan syariat nabi-nabi terdahulu. Turunnya Isa 'alaihissalam ke bumi berhukum dengan syariat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Baginda satu-satunya nabi diberi pilihan berhukum dengan hukum zahir atau batin. Hukum syariat atau pun hakikat. Baginda pemilik Syafaatul Kubra. Baginda pemegang panji Al-Hamd tanpa sedikitpun perasaan bangga. Umatnya adalah sebaik-baik umat. Tidak dibenarkan mana-mana kaum menjejakkan kaki ke syurga melainkan setelah dirasmikan umat Baginda.

Imam Syafie rahimahullah berkata, "Tidak dikurniakan mukjizat atau kelebihan kepada seorang nabi pun melainkan Nabi kita juga akan dikurniakan dengan perkara yg sama atau dengan yg lebih hebat daripadanya."

Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam, kehebatannya tidak terungkap dengan kata-kata...

"Ya Allah, jika kecintaanku kepada Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam hanyalah satu kepura-puraan maka tukarkanlah ia menjadi satu kenyataan... Amiiinnn... "


~Mutiara-mutiara ilmu yg dikutip daripada kitab Ar-Rohiq Al-Makhtum karangan Al-Mubarakfuri, Al-Bahir karangan As-Suyuti dan Al-Mawahib Al-Ladunniyyah karangan Al-Qustullani~

[al-aman.blogspot.com]

Read More......

Wednesday, March 11, 2009

Tipuan harta

Setelah sekian lama berehat dari menulis, tergerak untuk menyampaikan suatu yang terbuku selama mana telah tersimpan sehingga mendap di dasar hati ini, sememangnya jika lidah ini petah berkata lazimlah tulisan mudah untuk diatur, namun lidah yang ada ini terlalu kelu untuk berbicara soal kebaikan kerna selalu berada di alam “kederhakaan”…ampunilah daku wahai tuhan yang maha Pengampun. Sebenarnya otak ini telah kekeringan untuk menulis namun dipaksa jua untuk mengeluarkan mutiara didasar ini, dalam keterpaksaan itu kadang memeritkan diri kerna keterbiasaan telah kabur dari diri ini.

Pernahkah kita melihat perlakuan manusia yang terlalu gilakan dunia sehingga mampu melelapkan segala yang berharga semata mata untuk memenuhi habuan dunia yang hanya sementara ini. Mereka sanggup memutuskan persaudaraan demi kerana sebidang tanah, sanggup bermasam muka demi sesuap nasi,sehinggakan sanggup menganggkat senjata hanya semata mata perebutan seorang wanita yang dicintai. Sememang jika kita berada dalam situasi itu kita akan kabur dari melihat kebodohan perbuatan itu kerna, kerna Syaitan telah berjaya menutupi ruang untuk menyatakan itu adalah “perbuatan bodoh!”. Namun jika berada diluar situasi itu akan dapatilah betapa jeliknya perbuatan seperti itu.

Bagi mereka yang telah terjaga hati dari terasa cintakan barang dunia, mereka akan terasa pelik melihat perbalahan demi semata mengapai harta yang tidak kekal abadi ini. Sehinggakan mereka akan kehairanan apabila mendengar ucapan sebegini “ini harta aku! milik aku! ikut aku ah!!”. Mereka berbangga dengan adanya harta di sisi mereka sehinggakan telupa bahwa harta itu bukanlah penentu kebahagian hidup yang “hakiki”. Sedangkan jika kita fahami harta ini terbahagi kepada tiga jenis sahaja, iaitu :

Pertama adalah harta yang fana’ yang akan hancur seperti makanan yang kita makan akan sampai kedalam perut yang hanya memberi kekenyangan untuk seketika sahaja kemudian ia akan dikeluarkan dalam bentuk najis. Pada masa itu siapa lagi yang mampu berbangga sehingga menyatakan ini harta ku!!, maka sia sialah mereka yang tertipu.

Kedua ialah harta yang akan buruk, seperti kereta, baju dan sebagainya, harta ini kita mampu berbangga pada permulaannya sahaja tika harta ini di penghujung usia kita akan terasa malu bersamanya dan kekadang dia membebankan kita pula. Pada tika ini tiada seorang pun yang berbangga dengan harta sebegini, maka menangislah mereka yang telah tertipu.

Ketiga adalah harta yang diberikan kepada manusia yang berbentuk sedekah dan amal jariah demi mencapai redha Ilahi. Pada pandangan mata kasar ini ia menghukum bahwa harta itu telah pun bertukar tangan kepada manusia lain namun pandangan mata hati yang luhur kerna tuhan ia adalah harta yang kekal abadi bersama kita nanti di Akhirat kelak yang akan membantu kita untuk tidak bertemu dengan malaikat Malik. Maka bahagialah bagi mereka yang ikhlas beramal.

Begitulah harta, harta yang membahagiakan kita di negeri abadi adalah harta yang akan kekal bersama dan diterima di sisi Allah taala. Semua harta dunia tiadalah kekal melainkan hancur berkecai belaka tatkala berhentinya pusingan dunia mahupun berhentinya pernafasan pada jantung kita. Janganlah tunggu masa yang sesuai untuk kita berubah namun kita perlu berubah untuk menyesuai dengan masa kerna mati bukan ditangan kita

Dalam penulisan ini kadang ia datang dalam keluhuran hati yang menyatakan rasa, maka renungilah kata yang tersusun itu dan terkadang ia datang dari keterpaksaan otak untuk menyimpul kata-kata maka fahamilah sebaiknya…namun yang penting renungilah dan fahamilah kata-kata itu dan jangan melihat pada diri ini tetapi lihatlah pada isi yang telah tertulis.

Wallahualam..


Nukilan,

Ustaz Farezuan (http://insaf.blog.friendster.com/)

-Penulis jemputan-

Read More......

Tuesday, March 10, 2009

Hadith Lalat: Satu Mukjizat

Pada zaman moden ini, saintis mendapati lalat rumah atau Musca domestica merupakan sejenis serangga perosak yg membawa parasit pathogen yg menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya seperti penyakit kolera,demam tifoid dan desentri. Saintis turut menemui bahawa serangga kecil ini membawa penawar iaitu bacteriophage. Lalat merupakan pembawa penyakit dan dalam masa yg sama pembawa penawar kepada racun yg dibawanya sendiri. Yang menariknya, fakta ini telah diketahui oleh umat Islam sejak dahulu lagi melalui hadith Rasulullah. Alhamdulillah, penemuan moden pada hari ini telah membuktikan kebenaran kata-kata Nabi. Hadith yg kelihatan aneh ini kini tidak lagi dipandang aneh bahkan dipandang sebagai satu mukjizat.

:: Hadith Lalat: Kedudukan sanad & matan
Antara hadith-hadith itu ialah hadith Abu Hurairah yg berbunyi, Rasulullah bersabda,
"Apabila lalat jatuh ke dalam bekas makanan atau minuman salah seorang daripada kamu, maka rendamlah ia(lalat) itu keseluruhannya, kemudian buanglah ia. Sesungguhnya pada salah satu sayapnya terdapat racun dan pada yg satu lagi terdapat penawar." (Riwayat Bukhari)
Hadith-hadith seperti ini juga diriwayatkan oleh imam-imam lain seperti Imam Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah, Ad-Darimi dan Al-Bazzar melalui sahabat-sahabat selain Abu Hurairah. Maka, kita mendapati hadith ini walaupun dengan sedikit perbezaan pada lafaz telah diriwayatkan oleh 7 orang imam hadith yg muktabar. Dan sanad kesemuanya sahih. Maka hadith ini berada pada tahap kesahihan yg agak tinggi dari segi sanadnya. Adapun dari segi matan, maka kajian saintifik telah membuktikan kesahihannya!

# Perlu diketahui bahawa perintah di dalam hadith ini bukanlah untuk mewajibkan tetapi sebagai irsyad atau saranan.

Dalam hadith Abu Hurairah riwayat Abi Daud & telah ditashihkan oleh Ibnu Hibban terdapat penambahan,
"Sesungguhnya ia melindungi dirinya dengan sayapnya yg mempunyai racun."
Ini kerana ia sebagai senjata baginya apabila berhadapan dengan perkara yg menyakitinya. Imam Ibnu Hajar dalam kitabnya, Fathul Bari berkata bahawa "Sebahagian ulama telah meneliti dan mendapati lalat melindungi dirinya dengan sayapnya yg kiri. Maka diketahui bahawa sayap kanannyalah yg mempunyai penawar. Dan kesesuaian dalam perkara itu jelas." Ini kerana kanan merupakan symbol bagi kebaikan, oleh sebab itulah Rasulullah suka bertayamun(menggunakan anggota kanan dan arah kanan untuk perkara kebaikan). Adapun kiri maka ia symbol kepada keburukan.

:: Pandangan Perubatan Moden
Pakar-pakar perubatan bersetuju bahawa pada tubuh lalat terdapat bacteriophage yg bertindak menyerang virus dan bacteria yg dibawa sendiri olehnya. Maka dengan merendamkannya ke dalam bekas minuman/makanan yg ia jatuh ke dalamnya akan menyebabkan ia menghapuskan kuman yg dibawa sendiri olehnya.

Dalam satu pembentangan yg disampaikan oleh seorang doktor muslim dalam program Persatuan Al-Hidayah Al-Islamiyyah di Kaherah, beliau berkata bahawa, "Lalat hinggap di atas bahan-bahan kotor yg dipenuhi dengan kuman yg menyebabkan pelbagai penyakit. Lalu ia memindahkan sebahagian bahan tersebut dengan kakinya dan makan sebahagian yg lain. Maka tubuh lalat itu terdiri daripada bahan beracun yg dinamakan oleh pakar perubatan sebagai bacteriophage yg bertindak membunuh banyak kuman pembawa penyakit. Dan tidak mungkin kuman-kuman itu akan terus hidup atau memberi kesan kepada tubuh manusia selagimana bacteriophage ini wujud."

Jadi, apabila lalat jatuh ke dalam makanan atau minuman lalu mencampakkan kuman-kumannya, maka agen pembunuh kuman yg paling dekat untuk digunakan ialah bahan pembunuh kuman yg terletak pada tubuh lalat itu sendiri iaitu bacteriophage! Ia akan memakan kuman-kuman tersebut.

Beliau juga telah menguatkan hujjahnya dengan artikel dalam sebuah majalah, Rockefeller Foundation's Journal of Experimental Medicine (1927) volume 43:
"The flies were given some of the cultured microbes for certain diseases. After some time the germs died and no trace was left of them while a germ-devouring substance formed in the flies bacteriophages. If a saline solution were to be obtained from these flies it would contain bacteriophages able to suppress four kinds of disease-inducing germs and to benefit immunity against four other kinds."
:: Mukjizat
Cuba renung, bagaimana Rasulullah boleh menemui ilmu saintifik sebegini? Perkembangan ilmu pada zaman itu tidak memungkinkan untuk menjalankan eksperimen. Dengan kelengkapan yg tidak mencukupi, waktu pula yg disibukkan dengan aktiviti dakwah dan jihad, maka mustahil untuk mendakwa kajian sebegini dilakukan pada 1400 tahun yg lalu. Natijah kepada eksperimen ini telah diumumkan 1400 tahun sebelum eksperimen dijalankan! Natijahnya diumumkan oleh lidah seorang Rasul yg tidak pernah berdusta. Kerana setiap bicaranya adalah wahyu Tuhannya yg Maha Bijaksana.

Kita renung lagi. Bayangkan jika bacteriophage ini tidak wujud pada tubuh lalat. Pasti lebih sulit dan tentulah lalat akan menjadi salah satu agen pemusnah utama kepada komuniti manusia terutama di negara-negara dunia ketiga.Akan tetapi hakikatnya, virus dan bacteria yg dibawa oleh lalat ini mampu dihapuskan oleh bacteriophage yg juga dibawa sendiri olehnya. Tidak perlu pergi jauh. Hanya di tempat yg sama. Lihatlah sifat bijaksana Allah mentadbir ciptaanNya.

:: Kolera di India, 1930
Dalam menangani isu kolera di India, Félix d'Herelle bersama sekumpulan rakannya bertindak menuangkan cairan yg berisi bacteriophage ke dalam telaga-telaga di kampung-kampung yg mana penduduknya dijangkiti kolera. Dengan izin Allah, kadar kematian menurun daripada 60 sehingga ke 8% sahaja.

Bacteriophage memang berpotensi dalam merawat penyakit. Di dalam Indian Council of Medical Research Bulletin, Vol.32, No.4, ada dinyatakan,
"The phages especially the cholera bacteriophages may be helpful as therapeutic agents for treating infections. The effective approach and additional rigorous studies are urgently required in this field of research."
Di dalam Middle East Journal of Family Medicine, October 2007-Volume 5, Issue 7, ada dinyatakan,
"Bacteriophage could become an additional tool in the public-health struggle against cholera."
Fakta sebegini tidak tersembunyi lagi. Sekelompok manusia yg pernah menuduh dusta terhadap hadith ini satu ketika dahulu sebenarnya telah menconteng arang ke muka sendiri. Wahai manusia, saksikanlah kebenaran Nabi ini!



Rujukan:
1-Al-Mausuah Az-Zahbiyyah fi 'Ijaz Al-Quran Al-Karim wa As-Sunnah An-Nabawiyyah, Dr. Ahmad Mustofa Mutawali
2-Difa' 'an As-Sunnah, Dr. Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah
3-Daf'u Syubuhat 'an As-Sunnah wa Ar-Rasul, Dr. Syeikh Abd Mahdi Abd Qadir Abd Hadi
4-Wikipedia
5-Islamonline
6-Middle East Journal of Family Medicine (internet)
7-Indian Council of Medical Research Bulletin (internet)

[al-aman.blogspot.com] Read More......

Pelancaran blog 'usramedic.blogspot.com'

Assalamualaikum... Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, blog 'www.usramedic.blogspot.com' ini dilancarkan. Mudah-mudahan kehadiran blog ini menyumbang ke arah perkembangan dunia dakwah di alam siber ini.

Blog ini juga merupakan medan berhimpunnya ahli-ahli usrah yg terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan Tahun Satu Terengganu di alam siber. Mudah-mudahan keberadaan mereka di Bumi Anbiya' ini dikurniakan limpahan ilmu dan pengalaman. Jumlah mereka ialah 6 orang. 'Doktor' yg dilantik menjadi ketua usrah ini ialah Abd Malik Sufri b. Zaid. Ahli-ahli usrah pula ialah, Muhammad Hasyim. Che Ngah, Khairun Najmi Asyraf b. Mohd Azmin, Mohd Zulkhairi b. Sulaiman, Che Mohammad Nur Anas b. Che Kadir dan Mohd Fahami b. Ariffin. Usrah ini diletakkan di bawah Biro Dakwah KPT, yg diketuai oleh Ustaz Abdul Manan b. Jusoh. Naqib yg mengendalikan usrah ini bagi sesi ini ialah alfaqir Ahmad Fahmi b. Che Nordin.

Marilah kita berdoa kepada Allah agar mengikhlaskan niat kita, mengurniakan istiqamah dalam ketaatan dan menerima segala amal kita. Amiiinnn...

Kami juga menjemput 3 orang penulis jemputan untuk membuat pengisian di blog ini. Mereka ialah Ustaz Muhammad Safwan b. Samsuddin, Ustaz Muhammad Syukri b. Mohd Nazar dan Ustaz Muhammad Farezuan.

p/s: Jazakumullah kepada Ust. Nasir selaku designer! :)
Read More......

Usrah Medic Terengganu is wearing Blue Weed by Blog Oh! Blog | To Blogger by Gre at Template-Godown | Entries (RSS) and Comments (RSS).