Tuesday, May 19, 2009
Ikatan Janji Seorang Hamba Dengan Allah Taala
Firman Allah Taala;
“ (Tetapi) kerana mereka melanggar janji mereka, kami melaknat mereka (jauh dari pandangan rahmat) dan kami jadikan hati mereka keras……”
[ al-Maidah: 12]
Apakah perjanjian antara kita dan Allah Taala?
Sabda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam;
“ Perjanjian antara kita dengan Tuhan kita adalah solat. Sesiapa yang meninggalkannya sesungguhnya dia telah kufur”
Kelembutan bahasa dalam dalam Hadis Baginda Sollallahu’alaihiwasallam terserlah kerana kalimah yang digunakan di dalam hadis adalah “telah kufur” (فقد كفر), tidak digunakan kalimah “maka dia adalah orang yang kafir” (وهو كافر). Kalimah “telah kufur” membawa maksud perkara itu bukan sesuatu yang kekal dan berterusan. Ianya boleh berubah apabila seseorang itu bertaubat kepada Allah Taala.
Setiap dari Muslim perlu sentiasa melakukan muhasabah ke atas diri mereka. Adakah mereka mendirikan solat sebagaimana yang telah diperintahkan oleh Allah kepada mereka? Ataupun mereka termasuk dalam golongan yang mengabaikan perintah dan janji mereka kepada Allah Taala sehingga membawa kepada kemurkaanNya? Semoga kita termasuk dari golongan pertama, dijauhkan dari menjadi golongan yang kedua, amin.
“ Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab (di hari kiamat), hitunglah amalan kamu sebelum amalan kamu dihitung (di hari kiamat)”
Sekiranya kita telah termasuk dalam kalangan hambaNya yang sentiasa menjaga solat
Firman Allah Taala;
“ Sesungguhnya solat itu mencegah seseorang dari perbuatan keji dan mungkar”
Difahami dari ayat di atas bahawa sembahyang menghalang seseorang dari terjebak dalam perkara yang keji dan ditegah syara’. Sekiranya solat yang didirikan tidak mampu menghalang seseorang dari perkara yang dimurkai Allah, dia mestilah menilai kembali dirinya. Adakah dia telah mendirikan solat dengan sempurna? Apabila solat tidak mampu menghalang seseorang dari keburukan, bermakna dia tidak memandang serius janjinya dengan Allah Taala.
Masalah ini memerlukan kepada suatu muhasabah. Seseorang melakukan sembahyang dengan tergesa-gesa tanpa menjaga adabnya kemudian mendakwa telah mendirikan solat. Hakikatnya, dia tidak mendirikan solat sebagaimana diperintahkan oleh Allah Taala kepadanya. Solat sebeginilah menyebabkan seseorang tidak mampu membina kekuatan dalam diri untuk meninggalkan maksiat kepada Allah. Kesilapan bukan kerana dia mendirikan solat, akan tetapi berpunca dari kelalaiannya ketika mendirikan solat. Terlalu memandang mudah dan ringan dengan tanggungjawabnya kepada Allah.
Namun begitu, bukan bermakna seseorang boleh meninggalkan solatnya apabila solatnya tidak mampu mencegahnya dari terjatuh dalam perkara yang diharamkan syara’. Setiap muslim wajib menunaikan janjinya ini dengan Allah Taala samada dia mampu menghadirkan rasa khusyu’ dalam sembahyangnya ataupun tidak. Solat tetap wajib ke atas dirinya. Tidak ada pengecualian untuk mereka.
Sembahyang adalah tiang agama. Solat itu adalah janji kita dengan Allah Taala. Apabila kita menanggalkan janji yang telah diikat, laknat Allah akan menimpa. Laknat bermaksud jauh. Jauh daripada pandangan rahmat dan kasih sayang Allah Taala. Cubalah untuk menghayati ungkapan bismillahirrahmanirrahim yang diungkapkan setiap kali kita memulakan perbuatan mahupun perkataan. Seseorang yang dilaknat adalah manusia yang jauh dari Allah Taala Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Apabila jauh dari rahmat Allah Taala, perkara ini mendorong kepada kerasnya hati. Lembut adalah tanda sesuatu itu hidup, keras adalah tanda mati. Orang yang hatinya keras bermakna hatinya telah mati. Hati yang keras dan mati tidak terkesan dengan apa yang berlaku disekelilingnya. Melakukan sesuatu mengikut akal dan hawa nafsu semata-mata tanpa panduan syara’. Keadaan inilah menjadikan seseorang itu terjerumus ke lembah kehinaan di dunia dan di akhirat.
* Intipati pengajian Tafsir al-Quran bersama as-Syeikh ad-Doktor Ali Jumu'ah Hafizohullah, Mufti Mesir di Masjid Sultan Hassan; Jumaat, 20 Jamadilawal 1430H
[arrajirahmatarabbih@yahoo.com]
0 comments:
Post a Comment