Thursday, March 19, 2009
Hubungan Ilmu dan Iman
Imam Muslim meriwayatkan dalam kitab Shahihnya, di permulaan bahagian kedua dari kitabnya itu, dengan Hadis Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam yang menceritakan kisah Saidina Jibril ‘Alaihissalam yang datang bertemu dengan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam. Saidina Umar al-Khattab Radiallahu’anhu menyifatkan Saidina Jibril ‘Alaihissalam datang dalam keadaan yang kemas dan bersih tanpa ada kesan perjalanan jauh sedangkan tidak ada seorang pun mengenalinya sebagai penduduk di situ.
Saidina Jibril ‘Alaihissalam datang kepada Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam dan duduk dengan penuh beradab sebagai seorang penuntut ilmu. Lalu, Saidina Jibril ‘Alaihissalam bertanyakan Baginda Sollallahu’alaihiwasallam mengenai tiga perkara utama yang berkaitan dengan Islam, Iman dan Ihsan. Dari kisah yang diriwayatkan di sini, menunjukkan kepada kita bahawa Islam merupakan agama yang sentiasa menuntut umatnya supaya bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu walaupun terpaksa menempuh perjalanan yang jauh. Dalam masa yang sama tidak melupakan adab-adab yang perlu dijaga sebagai seorang penuntut ilmu di jalan Allah.
Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam pernah bersabda;
“ Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk mencari ilmu, Allah akan mempermudahkan baginya jalan menuju syurga….”
Allah Taala menjadikan keadaan orang yang berilmu dan penuntut-penuntut ilmu berbeza dengan golongan-golongan yang tidak berilmu. Allah Taala berfirman;
“ Katakanlah: Adakah sama orang yang mengetahui dengan orang yang tidak mengetahui?”
Berkata ulama’: Allah Taala tidak mengkhususkan jenis pengetahuan dalam ayat ini tetapi mendatangkannya dalam bentuk yang umum sebagai petunjuk bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu di sini ialah sebarang jenis ilmu pengetahuan. Segala perkara yang disifatkan bahawa itu merupakan ilmu, dalam pengkhususan dan bidang apa sekalipun. Tidak kira samada ilmu itu adalah ilmu perubatan, kejuruteraan, fizik, kimia, falak, ilmu kehidupan, kemasyarakatan dan lain-lain dengan syarat ilmu itu menyebabkan seseorang itu menghubungkannya kepada Allah Taala. Syaratnya, ilmu itu semakin mengukuhkan lagi keimanan kepada Allah Taala. Sekiranya sesuatu ilmu itu tidak mampu menghubungkan seseorang kepada Allah Taala, ilmunya dikira tidak bermanfaat bahkan kadang-kadang boleh memudaratkan dirinya dan orang lain.
Oleh kerana itulah, di sana terdapat penulis yang menulis buku dengan tajuk “ Ilmu Perubatan Pusat Keimanan”. Seseorang doktor dikatakan ‘melihat Allah’ iaitu melihat kekuasaanNya melalui ilmu yang dipelajarinya. Pada jasad manusia tersembunyi pelbagai tanda kekuasaan dan rahsia penciptaan Allah Taala. Para doktorlah yang mampu melihat rahsia-rahsia kekusaan Allah ini ketika mereka merawat para pesakit. Perkara ini bersesuaian dengan kata syair;
وفي كل شيئ آية تدل علي أنه واحد
Maksudnya:
Pada tiap-tiap sesuatu itu ada tanda - yang menunjukkan bahawa sesungguhnya Allah itu Esa
Tidak ada sesiapa pun yang mampu menafikan bahawa memelihara kesihatan dan mengubati penyakit bukan sahaja memerlukan kepada ilmu zahir yang dipelajari, bahkan pentingnya pergantungan kepada Allah Taala. Seseorang yang tidak diizinkan Allah untuk sembuh tidak akan sembuh walaupun diberi rawatan yang terbaik oleh doktor yang pakar dalam bidang tersebut.
Allah Taala berfirman;
“ Dan jika sekiranya Allah Taala menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang mampu menghilangkannya melainkan Dia. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dia Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”
Para doktor juga memerlukan kepada ketahanan mental yang tinggi untuk berhadapan dengan karenah pesakit yang pelbagai. Fakta menunjukkan statistik tahunan para doktor yang bertugas merawat pesakit di Malaysia mengalami sakit jiwa apabila sudah tidak tahan melayan karenah pesakitnya. Di sinilah perlunya seseorang pakar perubatan sentiasa menghubungkan dirinya dengan Allah Taala. Kadang-kadang seseorang pesakit lebih memerlukan suntikan motivasi dan kata-kata semangat dari doktor yang dipercayainya daripada suntikan ubat yang menyakitkan.
Sebagai penutup, dengan kesempatan yang dikurniakan oleh Allah Taala berada di bumi yang penuh berkat ini, berusahalah dengan sedaya-upaya untuk memenuhi tanggungjawab sebagai penuntut ilmu perubatan yang sentiasa cuba untuk meningkatkan keimanan kepadaNya daripada ilmu yang dipelajari. Sesungguhnya dari Allah kita datang, kepada Allah kita akan dikembalikan.
[ syukrinazar.blogspot.com]
1 comments:
Salam adik2 medic...tempoh 6 tahun ni x lama. sekejap jer. pejam celik pejam celik..sedar2 6 tahun dah...jadi, guna la peluang ni seelok-eloknya ya..gudlak!
Post a Comment