Tuesday, March 17, 2009
Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam, kehebatannya tidak terungkap dengan kata-kata!
Saatnya telah tiba. Empat belas buah balkoni Istana Maharaja Kisra tersungkur menyembah bumi. Api sembahan Majusi yg menyala megah seribu tahun tiba-tiba terpadam. Tasik Saawah kering. Gereja di sekitarnya runtuh. Aminah menyaksikan keluar daripadanya cahaya terang benderang. Cahaya bersinar cemerlang hingga menerangi istana di Busra, Syam. Seorang Yahudi di Yathrib menjerit kegilaan, "Telah muncul bintang Ahmad di langit pada malam ini!" Bintang yg tidak kelihatan kecuali pada malam kelahiran seorang nabi penutup sekalian nabi!
Syaitan berteriak di gunung dan lembah. Tiada lagi rahsia langit akan didengari. Rejaman demi rejaman mengejar pantas syaitan pencuri berita langit. Jalan wahyu kini aman daripada gangguan. Saat itu telah tiba. Kelahiran seorang nabi akhir zaman.
Lahirnya insan agung yg mengubah alam. Menyinari dunia yg sebelumnya diselimuti kegelapan. Lahirnya membawa sejuta perubahan. Lahirnya dalam keadaan bersujud. Sujud yg mengagungkan Tuhan. Kelahirannya dinanti-nantikan. Dan penantian itu telahpun berakhir. Kelahiran yg disambut dan diraikan. Timur, barat, utara dan selatan mempersilakan ketibaannya. Seluruh alam bergembira. Sesuai dengan kebangkitannya sebagai rahmat kepada seluruh pelusuk alam semesta.
Baginda manusia. Tapi bukan seperti manusia biasa. Baginda umpama permata yg berkilauan di celahan batu-batu. Baginda makhluk semulia-mulia makhluk. Baginda nabi terulung di kalangan nabi-nabi. Baginda rasul terpilih dan termulia secara mutlak! Tiada yg mengetahui hakikat sebenarnya kecuali Tuhan Penciptanya. Baginda makhluk paling sempurna pernah tercipta. Baginda kekasih Allah yg paling utama. Tiada yg mampu merebut kedudukannya.
Namanya tercatat di arasy. Namanya termaktub di dalam kitab-kitab terdahulu. Namanya telah disebut-sebut sebelum kelahirannya. Sifat-sifatnya telah dikenali sebelum kebangkitannya. Awan memayunginya daripada kepanasan terik mentari. Akhlaknya terpelihara. Sesiapa yg memandangnya pasti terpesona. Kehebatan dan kecantikan yg teramat luar biasa.
Baginda telah menjadi nabi sedang Adam 'alaihissalam berada di antara ruh dan jasad. Tuhan yg mencipta Adam 'alaihissalam telah meletakkan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam di dalam sulbinya. Baginda umpama mentari yg menyinari. Para nabi yg lain pula umpama bulan yg memantulkan cahayanya, menyebarkan hidayah kepada seluruh kaum yg diutusnya. Cahayanya terus bergemerlapan. Tidak pernah malap dan tidak akan sesekali malap. Cahayanya umum kepada semua. Rahmat sekalian alam.
Baginda dikurniakan kelebihan dan keistimewaan yg tidak pernah diberikan kepada nabi-nabi sebelumnya. Jika malaikat diperintah bersujud memuliakan Adam 'alaihissalam, maka Allah beserta malaikatNya berselawat memuliakan Baginda. Jika Idris 'alaihissalam diangkat ke tempat yg tinggi, maka Baginda dimikrajkan ke tempat tertinggi yg tidak pernah dicapai sesiapa selainnya. Sesiapa yg melepasinya nescaya terbakarlah ia. Jika api yg sepatutnya membakar Ibrahim 'alaihissalam diperintah menjadi sejuk dan sejahtera, maka api peperangan untuk membunuh Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam dipadam Allah secara serta merta. "Setiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah akan memadamkannya." Al-Anfal, ayat 33.
Api yg menyambar kulit seorang anak kecil daripada umatnya tunduk akur kepada ludahan Baginda. Tangan yg mulia itu menyapunya lalu sembuh dengan serta merta. Ibrahim 'alaihissalam terpilih sebagai Al-Khalil. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula Al-Khalil dan Al-Habib. Ibrahim 'alaihissalam menghancurkan berhala sembahan dengan sebilah kapak, manakala Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam membinasakannya dengan sebatang tongkat. Ibrahim 'alaihissalam dimuliakan dengan pembinaan Kaabah, Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula dimuliakan dengan peletakan Hajarul Aswad.
Tongkat Musa 'alaihissalam menjelma sebagai ular besar yg tidak bersuara, tunggul kayu pula merintih, merengek, merindukan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Tangisannya jelas kedengaran. Mengenangkan saat indah disentuh dan dijadikan tempat sandaran. Tangisan si tunggul akhirnya terhenti kerana pujukan yg menjaminnya ke syurga bertemankan kekasihnya. Tatkala Abu Jahal ingin melontar batu untuk menyakiti Baginda, tiba-tiba kelihatan dua ekor ular ganas di bahu yg mulia itu. Abu Jahal menggeletar dan melarikan diri.
Musa 'alaihissalam pernah dikurniakan mukjizat membelah lautan. Maka Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula dikurniakan terbelahnya bulan. Jika Musa 'alaihissalam memancarkan air melalui batu, maka Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula terpancar air di antara jari jemarinya. Musa 'alaihissalam diberi gelaran Kalimullah kerana berkata-kata secara langsung dengan Allah tanpa perantaraan Jibril. Maka Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula diisrak mikrajkan. Sebuah perjalanan ajaib yg tidak tunduk kepada sistem alam. Pengembaraan merentasi sempadan logik akal pemikiran, membelah tujuh petala langit, menyaksikan tayangan perdana, mempertemukan Baginda dengan nabi-nabi terdahulu lalu menerima solat lima puluh waktu. Munajat Musa 'alaihissalam di Bukit Thur Sina, munajat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam nun di Sidratul Muntaha.
Daud 'alaihissalam mampu melembutkan besi keras dengan menggunakan tangannya. Maka ranting kering pula menjadi segar dan tumbuh daunnya tatkala berada di tangan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Sulaiman 'alaihissalam menguasai bahasa binatang, menundukkan jin dan syaitan. Memiliki kerajaan agung yg tidak pernah dimiliki sesiapa selepasnya. Maka, batu-batu pula berkata-kata dengan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Bahkan bertasbih di tangannya dan tangan sahabat-sahabatnya sedang asal kejadiannya makhluk yg kaku tidak bersuara.
Di dalam peristiwa Khaibar, peha biri-biri yg dihidangkan kepada Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam bertutur memaklumkan perihal keadaannya. Kijang berdialog dengan Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Unta pula membuat pengaduan kepadanya. Burung dan serigala turut tidak melepaskan peluang berbual dengannya.
Dapatkan Mesej Bergambar di Sini
Buraq yg ditunggangi Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam lebih laju daripada angin yg berada di bawah kekuasaan Sulaiman. Bahkan kelajuannya menewaskan kelajuan kilat. Jika syaitan terpaksa tunduk di bawah pemerintahan agung Sulaiman, dipaksa melakukan kerja-kerja berat, maka Bapa Segala Syaitan, Iblis laknatullah pernah diberkas oleh Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam lantas diikat di salah satu tiang masjid. Sulaiman 'alaihissalam menggunakan jin manakala Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam mengislamkan jin. Jika jin termasuk di kalangan angkatan tentera Sulaiman 'alaihissalam, maka Jibril dan sekumpulan malaikat yg terbaik terpilih sebagai bala tentera Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam.
Merpati yg membuat sarang di pintu gua dalam peristiwa Hijrah dengan mudah menggagalkan perancangan terancang Musyrikin yg keji yg menawarkan seratus ekor unta bagi sesiapa yg mampu menangkap Baginda. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pernah diberi pilihan. Untuk menjadi seorang nabi dan raja yg berkuasa atau menjadi seorang nabi dan hamba yg reda di bawah kekuasaanNya. Lalu Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam memilih yg kedua.
Kitab dan suhuf diturunkan kepada sebahagian nabi. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula diturunkan Al-Quran yg kekal hingga ke hari ini. Mukjizat terbesar yg akan berkekalan hingga ke hari kiamat. Syariatnya menasakhkan syariat nabi-nabi terdahulu. Turunnya Isa 'alaihissalam ke bumi berhukum dengan syariat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Baginda satu-satunya nabi diberi pilihan berhukum dengan hukum zahir atau batin. Hukum syariat atau pun hakikat. Baginda pemilik Syafaatul Kubra. Baginda pemegang panji Al-Hamd tanpa sedikitpun perasaan bangga. Umatnya adalah sebaik-baik umat. Tidak dibenarkan mana-mana kaum menjejakkan kaki ke syurga melainkan setelah dirasmikan umat Baginda.
Merpati yg membuat sarang di pintu gua dalam peristiwa Hijrah dengan mudah menggagalkan perancangan terancang Musyrikin yg keji yg menawarkan seratus ekor unta bagi sesiapa yg mampu menangkap Baginda. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pernah diberi pilihan. Untuk menjadi seorang nabi dan raja yg berkuasa atau menjadi seorang nabi dan hamba yg reda di bawah kekuasaanNya. Lalu Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam memilih yg kedua.
Kitab dan suhuf diturunkan kepada sebahagian nabi. Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam pula diturunkan Al-Quran yg kekal hingga ke hari ini. Mukjizat terbesar yg akan berkekalan hingga ke hari kiamat. Syariatnya menasakhkan syariat nabi-nabi terdahulu. Turunnya Isa 'alaihissalam ke bumi berhukum dengan syariat Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam. Baginda satu-satunya nabi diberi pilihan berhukum dengan hukum zahir atau batin. Hukum syariat atau pun hakikat. Baginda pemilik Syafaatul Kubra. Baginda pemegang panji Al-Hamd tanpa sedikitpun perasaan bangga. Umatnya adalah sebaik-baik umat. Tidak dibenarkan mana-mana kaum menjejakkan kaki ke syurga melainkan setelah dirasmikan umat Baginda.
Imam Syafie rahimahullah berkata, "Tidak dikurniakan mukjizat atau kelebihan kepada seorang nabi pun melainkan Nabi kita juga akan dikurniakan dengan perkara yg sama atau dengan yg lebih hebat daripadanya."
Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam, kehebatannya tidak terungkap dengan kata-kata...
"Ya Allah, jika kecintaanku kepada Muhammad Sollallahu'alaihiwasallam hanyalah satu kepura-puraan maka tukarkanlah ia menjadi satu kenyataan... Amiiinnn... "
~Mutiara-mutiara ilmu yg dikutip daripada kitab Ar-Rohiq Al-Makhtum karangan Al-Mubarakfuri, Al-Bahir karangan As-Suyuti dan Al-Mawahib Al-Ladunniyyah karangan Al-Qustullani~
[al-aman.blogspot.com]
[al-aman.blogspot.com]
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment