Wednesday, September 30, 2009
Jiwa yang berdosa
Sememangnya sungguh sukar untuk kita melakar kejayaan tanpa melalui sudut yang sukar. Kita selalu menginginkan kejayaan, sama ada di dunia mahupun di akhirat kerana itu adalah fitrah manusia. Tiada manusia yang selalu berjaya di atas dunia ini, setiap manusia pasti akan melalui jalan kegagalan walaupun hati tidak menginginkannya. Ingatlah akan sampai suatu masa, seseorang itu akan senantiasa berada dalam kegagalan walaupun sering cuba untuk mencipta kejayaan.
Beringatlah wahai manusia, mereka yang akan senantiasa melalui jalan kegagalan adalah mereka yang disumbat ke dalam neraka Alllah taala di negeri akhirat nanti. Mereka senantiasa berusaha untuk keluar dengan mengadu kepada tuhan agar dikeluarkan dari tempat yang sangat menakutkan. Namun pengaduan mereka tidak memberi sebarang kejayaan. Allah taala menggagalkan permohonan mereka kerana di dunia mereka telah memekakkan telinga untuk menerima jalan yang sebenar.
Tika di dunia, satu kegagalan itu telah pun memberi keperitan kepada kita maka apatah lagi di akhirat nanti, bergandalah keperitannya. Ingatlah kejayaan yang dianyamkan bukan dari daun yang biasa, ketelitian untuk menghasilkan barang yang terbaik mestilah bermula dari bahan yang baik. Begitulah jika menginginkan kejayaan dakwah pada manusia sekeliling. Perlulah kita mempersiapkan bahan yang terbaik untuk menyampaikan kesan yang terbaik.
Ingatlah bahan yang terbaik dalam dakwah ialah jauhi diri dari jatuh ke dalam lembah maksiat. Amatlah malang jika mereka mempromosikan Islam yang Indah, sedang diri berpakaian comot. Ingatlah tika itu tiada siapa yang mampu dekati kita kerana tidak yakin setelah melihat penampilan yang meragukan. Roh Islam meresap kedalam hati manusia dari hati yang suci.
Fahamilah, maksiat apabila bertemu maksiat mustahil lahirnya kebenaran. Begitulah jiwa yang berjuang Islam dengan hati yang kelam tidak akan selamanya mampu meresapkan roh Islam terhadap lawannya. Sebaliknya hati suci yang membawa panji Islam itulah yang akan mampu memenangkan Islam di tengah-tengah kekufuran.
Perbaikilah kekuatan kita, jangan disimpan kemaksiatan di dalam lubuk diri yang mulia. Hingga kiamat, yang kelam dan suci tidak akan mampu untuk duduk bersama dalam satu rumpun. Islam akan lemah kerana penganutnya berada dalam kelalaian. Apabila tertanam kelalaian dalam ketaatan pada Ilahi, maka timbullah kemenangan dan di situ akan mekar keamanan buat manusia sejagat.
Ramai yang mengaku "Akulah pendakwah!", ingin membawa kebaikan pada manusia sejagat. Tetapi dalam kegelapan kemaksiatan menjadi santapan rohaninya. Maka di manakah dakwah yang ingin dihidupkan olehnya?? Sedang nafas dakwah telah mati dalam jiwanya, mana mungkin mampu menghembus untuk manusia sekeliling. Maka apa yang disampaikan menjadi satu ucapan yang berterbangan tanpa tujuan akhirnya menghancurkan alam sekeliling!!
Menangis seluruh isi alam semester melihat para pendakwah leka dengan kemaksiatan di kala kesunyian dari manusia dan berlagak bertakwa tika di tengah manusia. Mereka inilah yang merosakkan jalan dakwah, merobek kesucian Islam. Islam bukan kuat kerana ramai bilangan penganutnya, namun Islam menjadi kuat apabila penganutnya menjadikan ketaatan pada Ilahi itu tonggak utama dalam kehidupan. Kembalilah kepada Islam yang sebenar, berjalanlah atas dasar Islam yang betul di kala keseorangan mahupun tika di tengah lautan manusia kerana itulah kebenaran yang membawa sinar perubahan.
*Coretan USMB Terengganu ’09.
-Farezuan-
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment